Monday 16 July 2018

Tragedi Gunung Korbu Tahun 1999


Coretan pengalaman Azreen Ismail di Gunung Korbu, Perak pada tahun 1999 semasa mengikuti projek Ekspidisi Trans-Titiwangsa anjuran pelajar UITM yang menyaksikan satu kemalangan atau tragedi berlaku di puncak Gunung Korbu.
Sedikit kisah yang berkenaan kejadian tragedi yang dilalui oleh rakan baik saya sendiri.Daripada Dia kita datang,kepadaNya kita kembali.. Moga ruh arwah ducucuri rahmat al fatihah..
Pendakian yang berakhir dengan tragedi ini sebenarnya bertujuan untuk merentasi banjaran Titiwangsa sambil menjelajah ke beberapa puncak utama seperti gunung Korbu, Gayong dan Yong Belar. Projek ini dinamakan Ekspedisi Trans-Titiwangsa dan dikendalikan oleh sekumpulan pelajar ITM yang bergiat secara bebas. Saya tidak mengenali langsung ahli-ahli kumpulan tersebut yang kesemuanya 16 orang. Semuanya bermula apabila saya terlihat iklan oleh Adnan Taha, antara teraju kumpulan tersebut yang mengundang sesiapa saja yang mahu menyertai kumpulan tersebut untuk mendaki puncak Korbu. Iklan tersebut dipaparkan melalui internet, Gunung Online. Bagaimana pun, tidak lama kemudian Adnan mengubah rancangan kepada merentasi Banjaran Titiwangsa. Walaupun rancangan baru tersebut jauh lebih mencabar, saya tetap mahu turut serta.Pada mulanya saya merasa sangsi juga kerana tidak pernah bertemu dengan walau seorang pun ahli kumpulan tersebut. Mana tidaknya, saya terpaksa melaburkan sejumlah wang yang besar untuk membeli peralatan yang lebih baik memandangkan pendakian kali ini memakan masa di antara 7 hingga 8 hari. Peralatan yang digunakan sebelum ini jauh lebih ringkas dan hampir kesemuanya tidak boleh dipakai lagi


HARI PERTAMA
Kesangsian saya akhirnya terpadam pada hari pertama apabila kami semua bertemu di Medan Kidd pada hari Ahad, 23 Mei 1999. Seperti yang dijangkakan kesemua mereka muda-muda belaka. Beza umur kami adalah di antara 5 hingga 13 tahun. Kebanyakan mereka telah menanti di Medan Kidd sejak kira-kira jam 3.00 pagi lagi. Ini mengingatkan saya kepada pengalaman pada masa-masa selepas SPM dahulu yang mana saya sering tidur ‘koboi’ di merata tempat.
Kami berlepas ke Ulu Kinta dengan menaiki bas pekan (bas merah) yang menuju ke Kem Polis Hutan Ulu Kinta. Kesemuanya ada 14 orang termasuk 2 pendaki perempuan. Mereka adalah Sawa, Adnan, Lan, Mono, Wak, Jabir, Jerung, Pon, Mai, Sheila, Zainal, Sepoi (arwah), Rohan (arwah) dan saya sendiri. Seperti saya, Rohan juga terlibat di dalam kumpulan ini melalui internet. Kami turun di pintu masuk Kem Pasukan Polis Hutan (PPH). Beberapa orang di antara kami pergi melaporkan diri di dalam kem tersebut.Kami tidak menyedari bahawa bukan di situ tempatnya untuk melaporkan diri.
Sebenarnya sesiapa sahaja yang mahu memasuki hutan tersebut perlulah membuat permohonan di pejabat hutan dan bagi kes gunung Korbu, perlulah melaporkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan. Pasukan Polis Hutan bagaimana pun hanyalah pasukan bertindak yang selalunya ditugaskan sekiranya berlaku sebarang masalah yang berkaitan di dalam hutan seperti operasi menyelamat.
Setelah semua urusan selesai di kem PPH, kami menaiki van yang sedia menunggu di hadapan pintu masuk Kem PPH, menuju ke Intake, sebuah kawasan loji air serta jeram yang juga merupakan sebuah kawasan perkelahan. Van tersebut sentiasa ada bagi memudahkan orang awam masuk ke Intake memandangkan perkhidmatan bas hanya beroperasi setakat ke pintu masuk kem PPH. Jarak dari situ ke Intake hanya kira-kira 4 kilometer. Dari situ, kami mula berjalan pada jam 1.00 tengahari menghala ke Kem Seroja yang menjadi titik pertengah di antara Intake dengan puncak Korbu.Di dalam kumpulan tersebut, hanya Rohan yang pernah sampai ke puncak Korbu. Begitu pun, dahulunya dia menyusur dari Cameron Highlands dan berakhir di Korbu. Saya diberitahu bahawa sudah empat kali dia melalui jalan tersebut, dan ini merupakan kali pertama dia memulakannya dari Ulu Kinta. Memandangkan pengalamannya yang banyak, beliau menjadi pemandu arah bagi kumpulan kami. Beliau yang berusia 23 tahun sentiasa berjalan di hadapan sekali.
Di awal perjalanan, kami tidak banyak mendaki. Laluannya agak mudah. Kami sering terserempak dengan Orang Asli yang lalu lalang di situ membawa keluar masuk barang-barang pekerjaan mereka. Sesekala kelihatan rumah mereka yang diperbuat daripada buluh dan bertam dibina di sepanjang laluan tersebut. Saya berjalan rapat dengan Rohan. Di belakang saya ialah Sepoi. Kami tiba dahulu sebuah wakaf yang saya rasa didirikan oleh kerajaan negeri. Kami menunggu rakan-rakan yang ketinggalan di belakang.Bila kesemuanya telah tiba, kami menyambung semula perjalanan. Kali ini kami terpaksa menyeberangi sungai. Bukan sekali, malah entah beberapa kali, tidak pula saya mengiranya. Pada mulanya mampu juga saya berjalan di atas batu bagi mengelakkan kasut dari basah. Namun begitu lama kelamaan, laluannya semakin sukar dan kaki saya basah kerana termasuk ke dalam air. Mujur juga saya memakai kasut komunis yang diajarkan oleh Razali dari UBAT (Utan Bara Adventure Team). Sebenarnya kasut getah tersebut selalunya digunakan untuk menoreh getah dan biasa dijual di kampung-kampung. Ia digelar kasut komunis kerana sering digunakan oleh komunis (Parti Komunis Malaya) di hutan suatu masa dahulu. Harganya murah, hanya RM4.50. Walau pun begitu, tidak mudah untuk mencari kasut jenis ini. Saya tidak menjumpai kasut tersebut di kedai-kedai di Ipoh. Kasut yang ada itu saya beli di Banting dan sepasang lagi di Kampar.
Laluan kami menjadi semakin sukar kerana terpaksa melalui lereng-lereng bukit. Sesekala kami terpaksa menyeberangi sungai. Ada kalanya saya terpisah dari kumpulan. Rohan dan Sepoi berada jauh di hadapan, manakala kelompok utama pula ketinggalan di belakang. Kira-kira jam 6.15 petang saya sampai di suatu tempat di mana Rohan dan Sepoi telah pun beberapa minit lebih awal tiba. Kata Rohan, mulai dari situ, tidak ada lagi sungai untuk diseberangi. Oleh itu kami pun menunggu kelompok yang di belakang. Sementara menunggu sempat juga saya menunaikan sembahyang jamak.
Setelah lama menunggu, masih juga belum muncul walau seorang pun kelompok yang di belakang. Hari semakin gelap membuatkan Rohan mengambil keputusan untuk berpatah bagi mengesan kedudukan mereka. Kira-kira 20 minit kemudian, beliau muncul semula dan memberitahu bahawa baki anggota kumpulan sedang berehat dan memasak di belakang. Oleh yang demikian kami pun meneruskan kembali perjalanan.Pendakian semakin banyak dan jarang sekali menurun. Kata Rohan, “Sudah dekat.” Tapi kami bingung kerana masih belum juga tiba di Kem Seroja.
Semakin lama semakin tinggi bukit yang didaki. Hari pula sudah gelap dan kami terpaksa memasang lampu suluh. Kami terpaksa berehat pada beberapa ketika; barangkali terkejut dengan pendakian yang begitu mendadak. Di suatu tempat, saya dan Sepoi terhenti lama keletihan. Puas Rohan memujuk kami untuk terus mendaki. Saya kagum dan akui dia cukup bertenaga. Akhirnya kira-kira 5 minit kemudian kami menyambung perjalanan. Itu pun dengan langkah yang jauh lebih perlahan. Sedikit demi sedikit saya ditinggalkan di belakang. Cuma nampak cahaya lampu kepala Rohan saja sekali-sekala.Tiba-tiba saja kedengaran tempikan Poi. Akhirnya kami tiba di Kem Seroja. Waktu itu sudah pukul 8.15 malam. Rupa-rupanya semasa berehat lama tadi, kami sudah dekat sangat dengan Kem Seroja. Di kem tersebut terdapat tempat lapang dengan dua tingkat tanah lapang. Di setiap tingkat terdapat pondok beratap zink serta berlantai simen yang sama rupanya dengan yang terdapat di Kem Agas. Kami berhenti di tanah tingkat bawah yang letaknya di tepi jeram. Di penghujung kem terdapat dua buah tandas tertutup yang dibina daripada kepingan zink.
Kerana keletihan kami berehat seketika sebelum memasang khemah dan memasak. Terasa lega yang amat kerana berjaya tiba di situ. Mengenangkan laluan yang sukar sebelum sampai tadi, kami cuba berfikir bagaimana kelompok yang di belakang cuba meredah laluan di dalam gelap. Terus terang saya katakan kepada Rohan dan Sepoi, saya tidak fikir mereka akan berjalan di dalam gelap, apalagi pendakiannya amat meletihkan. Namun begitu jangkaan saya salah sama sekali. Lebih kurang 45 minit kemudian kelompok yang di belakang tiba dalam beberapa pecahan kumpulan. Kami semua makan dan membersihkan diri. Dalam suasana sejuk begitu, ramai juga yang mandi. Saya sekadar membasuh muka saja kerana tidak tahan sejuk.
HARI KEDUA
Air sungai sungguh sejuk dan saya hanya sekadar membasuh muka dan tangan. Kami menyambung perjalanan pada kira-kira pukul 10.00 pagi. Tidak banyak mendaki. Bagaimana pun kami terpaksa merentasi sungai dua atau tiga kali. Saya masih menjadi orang ketiga yang mendahului kumpulan. Semakin lama semakin banyak pendakian. Kami berhenti dan berkumpul di suatu sungai yang menurut Rohan, adalah sungai yang terakhir akan diseberangi.Kami kembali mendaki kemudiannya. Saya rasa terkejut kerana secara mendadak kami terpaksa mendaki cerun yang panjang dan berterusan. Cuma sesekala sahaja ada tanah yang agak datar. Jarang-jarang sekali kami berpeluang menuruni bukit. Kadang-kadang bila sudah jauh mendaki, terasa seperti akan sampai ke puncak bukit. Namun begitu kami sebenarnya tertipu kerana cerun-cerun tersebut bersambungan dan dilindungi oleh pokok-pokok. Di dalam hati, saya menyuruh diri saya bersabar dan teguh hati untuk terus mendaki. Mungkin di waktu beginilah keupayaan mental kita teruji. Pengalaman begini mungkin berguna untuk membentuk jiwa yang kental dan tahan cabaran.
Di suatu tempat, ada orang yang menghampiri saya di belakang. Kalau tidak silap, mereka adalah Lan dan Pon. Di hadapan sana, Sepoi dan Rohan terus laju menghilang menuju ke cerun yang lebih tinggi. Saya menyuruh Lan dan Pon untuk memotong. Tidak berapa lama kami pun tiba di punca air yang terakhir. Sepoi dan Rohan sudah tiba di situ sejak pukul 1.15 tengahari. Walau pun telah bersusah mendaki kami berasa agak puas hati juga kerana kami dapat merasakan perubahan altitud yang banyak.Punca air tersebut adalah sebuah jeram yang sangat kecil. Ia terletak kira-kira 25 meter ke bawah dari denai laluan kami. Saya turun menadah air ke dalam bekas air zam-zam yang saya pinjam dari ibu saya. Bekas tersebut mampu menampung 5 liter air. Bagaimana pun Rohan menasihati saya supaya mengisi sekadar 3 liter sahaja supaya tidak memberatkan bebanan saya nanti. Saya isikan 4 liter kerana memikirkan yang saya mungkin perlukan lebih air untuk berwuduk nanti.
Di atas batu di tepi punca air itu saya sembahyang jamak taqdim. Di situlah saja tapak yang cukup lapang yang ada untuk mendirikan solat. Oleh kerana sukar untuk sembahyang berdiri di situ, saya pun sembahyang duduk sahaja. Itu pun sudah cukup sukar bagi saya kerana tapak tersebut melandai ke bawah, lantaran saya seperti hendak jatuh ketika sujud. Bagaimana pun saya rasa lega dan bersyukur kerana mampu menunaikan sembahyang dalam keadaan begitu.
Setelah lama berehat, ketiga-tiga Rohan, Sepoi dan saya sudah bersedia untuk kembali berjalan. Kami tidak banyak makan. Tambahan pula kami ada memakan makanan kering yang bertenaga tinggi. Baki anggota kumpulan yang lain terus berehat lebih lama kerana menyediakan makanan yang sepatutnya untuk mengembalikan tenaga. Mereka juga bersiap memasak nasi untuk makan malam supaya dapat menjimatkan air di puncak kelak. Kelompok terakhir tiba di punca air tersebut pada pukul 2.30 petang.
Pendakian bermula kembali pada pukul 3.00 petang. Kali ini keperitannya amat dirasakan. Rohan dan Sepoi yang lebih bertenaga telah hilang dari pandangan saya. Mujurlah ada orang yang membuat tanda di sepanjang perjalanan, maka tidaklah saya tercari-cari laluan yang betul. Pendakian kali ini tidak ubah seperti yang sebelumnya. Saya teruskan mendaki dengan kudrat yang ada dan mengikut kemampuan saya. Tidak sia-sia juga latihan yang saya lakukan sejak beberapa minggu yang lalunya. Jika tidak tentu lenguh-lenguh badan dan mungkin awal-awal lagi saya sudah menyerah.
Walau pun perlahan saya mampu meneruskan pendakian. Ini mengingatkan saya kepada pengalaman mendaki puncak Kinabalu 2 tahun yang lalu. Saya masih ingat lagi kepada Albert, jurupandu arah berbangsa Dusun, yang menyuruh saya agar terus berjalan walau pun secara perlahan-lahan. Lama-kelamaan rupa bentuk tumbuhan semakin berubah. Pokok-pokok renek semakin banyak kelihatan menandakan yang saya sedang menghampiri puncak. Anehnya denai laluan semakin berlumpur. Saya tidak ingat kalau ada laluan berlumpur begini di gunung-gunung lain yang pernah saya daki. Cerun yang didaki pula semakin curam. Bagaimana pun suhu yang nyaman sedikit sebanyak mengurangkan rasa letih dan dahaga.
Akhirnya saya pun sampai ke suatu puncak yang bertanah lapang di mana Rohan dan Sepoi sedang duduk bersantai. Saya sangkakan yang kami telah berada di puncak Korbu kerana tidak terlihat puncak yang lain. Bagaimana pun Rohan menunjukkan puncak yang seterusnya kepada saya. Puncak tersebut dilindungi awan dan boleh tahan juga tingginya. Langsung hilang rasa lega tadi.
Puncak di mana kami sedang berehat itu dinamakan bukit Botak. Kami bertiga berborak-borak tentang laluan sukar yang telah kami tempohi untuk sampai ke puncak Botak. Walau pun agak jauh lagi, Rohan menenangkan Sepoi dan saya dengan memberitahu yang kami sudah tidak berapa jauh lagi dari puncak Korbu. Bagaimana pun Rohan tidak berapa ingat sekiranya ada lagi puncak lain seperti puncak Botak yang harus kami tempohi. Saya tidak pasti sama ada dia memang tidak dapat mengagak atau sengaja dia tidak memberitahu jawapan sebenar kerana tidak mahu melemahkan semangat saya.Sebelum menyambung perjalanan, saya sempat bertanya kepada Rohan tentang kesukaran dan rintangan untuk pendakian yang seterusnya. Menurutnya ada banyak cerun yang sangat curam ketika mendaki bukit Korbu Raya nanti.
Tidak banyak yang dapat saya bayangkan dari kata-katanya itu kerana pengalaman saya mendaki gunung jauh kurang berbanding dengannya. Saya anggarkan waktu itu sudah pukul 5.00 petang. Rohan dan Sepoi dengan lekas menggalas beg masing-masing dan terus meninggalkan saya yang mahu turut menyambung pendakian.Sebaik saja memasuki laluan ke puncak, Rohan dan Sepoi sudah jauh di hadapan dan terus hilang dari pandangan saya. Cerun seterusnya tidak banyak berbeza dengan yang sebelumnya. Walau bagaimana pun saya rasakan semakin sukar untuk mendaki kerana semakin banyak cerun yang tegak. Acap kali saya terpaksa berpegang kepada akar pokok untuk mendaki. Ada masanya bila sudah tiada tempat untuk berpegang, saya terpaksa merebahkan badan ke atas tanah untuk membolehkan saya merangkak ke atas. Tidak pernah saya mendaki gunung dengan begini susah. Laluan yang berlumpur pula banyak menukar warna pakaian saya. Hampir seluruh bahagian seluar saya bertukar warna kerana dilumuri lumpur.
Dalam keadaan yang sukar begitu saya terfikir kembali, “Mengapa aku lakukan semua ini? Sungguh menyiksakan!” Sering kali saya berhenti untuk berehat. Pada suatu ketika saya terdengar suara kasar yang dekat tetapi perlahan, “Hei!” Entah suara siapalah itu. Namun tidak saya endahkan suara tersebut, dan berjalan seperti biasa. Dengan badan yang letih begitu tidak terlayan saya oleh suara tersebut. Walau pun begitu sering kali saya berdoa agar selamat sampai ke puncak. Di kala ini jugalah saya lebih teringatkan kepada isteri saya yang sedang sarat mengandung, lantaran saya berdoa juga untuk keselamatannya. Di suatu masa yang lain, terdengar sorakan yang kuat dari bawah. Rasa-rasanya kelompok yang di belakang baru saja tiba di puncak Botak.
Pendakian yang saya kira amat mencabar itu terhenti apabila saya tidak dapat melepasi satu laluan. Kalau ke kanan, ada gaung dan terdapat tali perintang yang menghalang. Saya cuba ke kiri kerana terdapat beberapa tanda merah di situ. Walau bagaimana pun saya nampak seolah-olah laluan tersebut mati di situ. Cerunnya yang curam serta bertanah lembut memang menyukarkan pendakian. Saya terpaksa berpaut kuat pada akar-akar kayu di situ. Bila hampir sampai di atas, saya terhenti kerana tidak nampak jalan. Bimbang juga saya kalau telah memilih jalan yang salah. Perasaan takut mula timbul perlahan-lahan di dalam diri saya. Apatah lagi saya berseorangan dan sudah lewat petang pula.
Saya turun untuk meninjau sekiranya laluan kanan yang bergaung itu boleh ditembusi. Namun setelah diamati, saya tidak jadi mengikut arah tersebut kerana sangat merbahaya. Tali yang terentang di situ semestinya dipasang sebagai amaran supaya tiada orang melintasinya. Oleh itu saya kembali ke laluan kiri untuk mencuba lagi, tapi ternyata buntu. Entah beberapa kali saya turun naik di situ untuk melepasi laluan yang ini. Terfikir juga saya bahawa saya sepatutnya melalui tali yang terentang tesebut tetapi dengan menggunakan laluan kiri. Akan tetapi, saya melihatnya sebagai sesuatu yang agak mustahil dan sangat merbahaya untuk dicuba, walau pun ada tali pemanjat di situ.
Saya melaung ke atas menyebut nama Rohan beberapa kali dengan harapan dia akan turun dan memberi bantuan. Namun tiada jawapan. Cuma ada sesekali terdengar suara orang sayup-sayup di bawah. Akhirnya saya mengalah dan mengambl keputusan untuk menunggu rakan-rakan yang di belakang untuk membantu. Saya duduk sambil sesekala melaung nama Rohan. Akan tetapi cuma laung balas dari bawah yang kedengaran. Cuma sekali saja saya terdengar satu laungan dari atas. Saya agak pasti yang itu adalah suara Poi. Mungkin dia telah sampai ke puncak yang berikutnya.
Tidak lama kemudian, muncul Mono yang juga keseorangan. Saya berasa sungguh lega dengan kemunculannya, lalu menceritakan kerumitan yang saya hadapi kepadanya. Pengalaman membezakan di antara kami. Tidak sukar untuk Mono menentukan cara untuk melepasi lalauan tersebut. Memang kami terpaksa melalui lorong kiri dan pergi ke tempat yang ada rentangan tali. Samalah seperti mana yang saya fikirkan sebelumnya., tapi saya menganggapnya mustahil dan merbahaya. Setelah meneliti rintangan tersebut, Mono sendiri mengakui kesukaran untuk melepasinya. Dia memanjat dahulu untuk menjejak ke atas batu yang ada rentangan tali itu. Kemudiannya Mono menyambut beg galas saya sebelum membantu saya naik. Saya merasa takjub kerana begitu sekali sukarnya hendak menembusi laluan yang ini.
Memandangkan rintangan di situ agak sukar dan mengelirukan, Mono mengambil keputusan untuk menunggu rakan-rakan yang lain di situ. Jelas sekali semangat kesetiakawanan di antara ahli kumpulan ini. Oleh kerana kawasan lapang amat terhad dan barangkali tiada apa yang dapat saya lakukan di situ, saya menyambung perjalanan terus ke arah puncak. Laluan terus sukar kerana terpaksa mendaki beberapa cerun yang hampir menegak. Biar pun begitu saya merasa amat lega kerana dapat melepasi tempat yang mengelirukan tadi. Bagaimana pun hujan pula turun berserta dengan kilat. Dengan kedudukan menghampiri puncak Korbu sudah tentu merbahaya di waktu kilat sebegini. Saya berhenti mendaki dan duduk sementara menantikan hujan reda. Bunyi kilat yang sekali sekala kuat menandakan ada kawasan berhampiran yang terkena panahan petir. Saya berdoa agar saya dan rakan-rakan lain selamat semuanya. sambil menunggu saya membaca beberapa ayat lazim al-Quran untuk menghilangkan ketakutan.
Kira-kira 20 minit kemudian, Pon pula muncul. Dia berhenti berehat bersama saya. Kami kembali mendaki dan tidak berapa lama kemudian kami tiba di suatu puncak. Akan tetapi tiada sesiapa pun di situ kecuali Pon dan saya. Sudah tentu kami masih belum sampai ke puncak Korbu. Nun di hadapan kelihatan satu lagi bukit yang diselaputi kabus. Besar kemungkinan di situlah puncak Korbu. Waktu ketika itu ialah lebih kurang pukul 7.00 petang. Matahari sedang hendak tenggelam dan kami dapat melihat pemandangan yang sungguh jelas dan menarik. Barangkali ketika ini jugalah Rohan dan Poi telah tiba di puncak Korbu.
Melihatkan bukit yang satu lagi, kami berbelah bahagi untuk meneruskan pendakian. Dengan letih dan sejuk, kami mengambil keputusan untuk tunggu di puncak itu, iaitu puncak Korbu Raya. Pon membuat unggun kecil dan kami duduk memanaskan badan sambil menunggu rakan-rakan yang di belakang. Sedikit sebanyak terasa hampa juga kerana belum sampai lagi ke puncak, sedangkan Rohan ada memberitahu semasa di puncak Botak bahawa tinggal sedikit saja lagi yang perlu didaki.
Lan, Mai, Jerung dan Jabir tiba kemudiannya. Tidak ada apa yang mampu kami lakukan bila hujan kembali turun. Mujur juga tiada kilat. Kami berteduh di bawah ponco bagi menahan sejuk. Perlahan-lahan rakan-rakan yang lain tiba. Mono yang menolong saya tadinya termasuk dalam kelompok kedua terakhir setelah menyambut Wak dan Mai di tempat saya terkandas. Agaknya pukul 8.30 malam baru kesemuanya ada di puncak Korbu Raya. Rohan dan Sepoi seharusnya sudah selesa berada di puncak Korbu. Kami memasang khemah supaya dapat memanaskan badan. Sejuk sungguh suasana ketika itu, hinggakan bila saya memegang lampu gas pun jelas menggeletar. Kami sudah berkira-kira mahu bermalam saja di situ biar pun tapak di situ tidak berapa lapang.
Sedang kami memanaskan badan, pada pukul 10.00 malam muncul 2 orang yang baru sampai. Rupa-rupanya mereka adalah kawan kepada pendaki pelajar ITM ini. Seorang bernama Kecik dan seorang lagi Mat. Riuh seketika, kerana menurut mereka puncak Korbu sudah tidak jauh lagi. Bagaimana pun mereka berehat dan membuka cerita. Khabarnya mereka bertolak dari Intake pada pukul 10.00 pagi tadi. Kata Kecik, “Kami mahu beat komando dengan mendaki ke puncak dalam 12 jam saja”. Memang mereka cukup pantas. Kata mereka lagi, di kem Seroja sedang ada satu kumpulan pendaki yang juga mahu merentas ke Cameron Highlands seperti kami.
Pada jam 10.50 malam Mono, Jerung, Lan, Pon, Jabir, Najib dan saya berangkat untuk mengikut jejak Kecik dan Mat yang mahu ke puncak. Memandangkan Kecik dan Mat pernah tiba beberapa kali ke Korbu dan Gayong, saya menaruh kepercayaan kepada kata-kata mereka bahawa kami tidak perlu berjalan lebih daripada 45 minit. Lampu suluh saya rosak. Bersusah Mono mengeluarkan lampu suluh simpanannya untuk kegunaan saya. Sebenarnya saya sudah keletihan dan mengantuk, tetapi rasanya saya akan dapat tidur dengan lebih selesa di atas nanti. Mujur juga pendakian ke puncak tidaklah sesukar mendaki cerun Korbu Raya. Oleh kerana gelap, saya berjalan dengan perlahan-lahan. Saya berjalan pada kedudukan kedua terakhir. Mono berjalan di belakang saya.
Akhirnya kami pun sampai ke puncak. Tercapai juga impian saya untuk menjelajah ke puncak Korbu. Namun keletihan yang amat sangat serta rasa mengantuk membuatkan saya tidak berapa melayani perasaan gembira tersebut. Kami segera memasang khemah. Selepas itu saya bersembahyang dengan segera. Saya gunakan sedikit sekali air yang dibawa dari punca air terakhir. Keadaan di puncak Korbu berangin, sama seperti di puncak Korbu Raya. Bagaimana pun menurut Kecik, angin di Korbu Raya lebih kuat pada waktu sekitar jam 3.00 pagi nanti, maka lebih baik berada di puncak Korbu.Khemah kami dibina di tanah lapang yang paling atas. Terdapat beberapa tapak lapang lain yang berbeza sedikit ketinggiannya. Di suatu tanah lapang berhampiran dengan laluan ke gunung Gayong, sudah terbina khemah Rohan dan Sepoi.
HARI KETIGA
Beberapa orang di antara kami telah bangun sebelum matahari terbit. Suasana di puncak Korbu cukup tenang. Saya kagum melihat silauan cahaya merah yang menghiasi ufuk Timur di kala itu. Pemandangan dari puncak Korbu memang mengasyikkan. Di bahagian Barat terbentang luas kawasan Lembah Kinta, daerah yang menjadi tempat tinggal saya. Bukit Keledang, tempat saya berlatih kelihatan sayup-sayup saja dari situ. Jauh ke belakang daripada Lembah KInta kelihatan sebuah banjaran yang saya kira puncaknya adalah gunung Bubu. Lebih mengkagumkan lagi, laut Selat Melaka juga dapat dilihat dari situ. Dengan menggunakan teropong Kecik, saya dapat melihat sebuahdua kapal besar yang melalui selat tersebut. Ke arah Barat Laut pula kelihatan pemancar di Bukit Larut, Taiping. Bila saya amati kawasan yang lebih jauh secara teliti, saya dapat melihat Pulau Pinang serta selat yang memisahkannya dari Tanah Besar.
Ke selatan pula kelihatan puncak gunung Gayong, yang bakal kami tempohi tidak lama lagi. Hanya kira-kira 2 jam perjalananan saja untuk ke sana. Di belakang puncak Gayong kelihatan beberapa puncak lain. Salah satu darinya adalah gunung Yong Belar. Jauh ke belakang adalah gunung Berinchang di Cameron Highlands yang di atasnya terdapat stesen pemancar televisyen. Jalan raya baru yang sedang dibina menghubungi Simpang Pulai dengan Kuala Berang juga mampu dilihat dari situ.Sebuah gunung tinggi yang agak tirus bentuknya kelihatan pada arah Timur Laut, iaitu kawasan Kelantan. Saya agak yakin bahawa itulah gunung Yong Yap seperti mana yang saya lihat gambarnya di dalam hompej Gunung On-line. Ramai juga di antara kami yang kagum melihat gunung tersebut kerana bentuknya yang lain dari yang lain. Kedudukannya pula agak menonjol seolah-olah ia bukan berada di sebuah banjaran.
Pemandangan bandaraya Ipoh tidak kurang menariknya, apatah lagi Ipoh memang sudah jadi tempat tinggal saya. Dari puncak, banyak mercu tanda bandar Ipoh yang dapat dilihat. Landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah kelihatan kecil sahaja dan jelas terletak di kawasan yang sangat lapang. Ada juga rakan-rakan yang meminta penjelasan daripada saya tentang Stadium Lumba Kuda yang kelihatan ketara kehijauannya di celah-celah pembangunan bandar tua itu. Seperti yang disebutkan oleh Rohan semalam, kelihatan jelas kem Pasukan Polis Hutan dari puncak. Melihatkan saiznya yang kecil memang mengkagumkan bila memikirkan semula bagaimana kami boleh sampai ke puncak.
Sambil menikmati pemandangan dan bersarapan pagi, kami menunggu baki rakan-rakan yang tidur di puncak Korbu Raya malam tadi. Walau bagaimana pun, kami hairan juga kerana Rohan dan Sepoi masih juga belum bangun dari tidur, walhal matahari sudah agak meninggi dan terang pula cahayanya. Sedang kami makan keropok, Mono pergi membuka zip khemah mereka. Saya mengikut dan kami sungguh terperanjat dengan keadaan mereka. Walau pun posisi badan mereka dalam keadaan seperti orang tidur, namun mereka tidak sedarkan diri. Mulut Sepoi berbuih putih dan matanya terbuka. Rohan pula kemuntahan. Rupa-rupanya Lan telah terlebih awal menjenguk mereka sebelum kami bersarapan lagi. Saya antara dengar dengan tidak dengar saja suara kekagetan Lan itu.
Kami memanggil kesemua rakan yang sedang bersarapan itu untuk melihat Rohan dan Sepoi. Setelah mengamati keduanya, kami pasti sesuatu yang luar biasa telah berlaku. Mono memeriksa badan mereka dan mendapati keduanya sejuk. Kami berfikir sejenak tentang apa yang sedang berlaku dan apa yang harus dibuat. Mujur juga tiada siapa yang panik. Akhirnya keputusan dibuat untuk mengeluarkan mereka dari khemah supaya mendapat udara segar sementara cuaca di puncak sudah panas. Mula-mula Sepoi dikeluarkan dahulu dari khemah tersebut. Matanya yang terbuka membayangkan yang dia sudah tiada lagi. Bagaimana pun tiada siapa pun yang mahu mengesahkannya. Kemudiannya Rohan pula dikeluarkan. Tangan kanannya yang mendepang tidak dapat dibengkokkan kerana sudah keras dan kejang. Sementara itu Jerung turun ke puncak Korbu Raya untuk memberitahu kepada Sawa dan Adnan. Harap-harap mereka yang di bawah lebih berpengetahuan dalam hal-hal begini.
Sementara itu kami terus cuba mengagak apa yang telah berlaku. Seorang dua cuba merasai nadi Rohan dan Sepoi. Ada yang kata ada tapi sangat sedikit, dan ada yang kata tiada. Saya turut mengingatkan mereka bahawa kita boleh terkeliru oleh nadi kita sendiri. Melihatkan mulut Sepoi yang berbuih, saya hanya mampu menyatakan bahawa bila mana ada buih di mulut, tidak mustahil bagi makanan tersebut untuk turun ke saluran pernafasan yang mana boleh mengakibatkannya tercekik. Walau bagaimana pun itu saja yang saya tahu. Untuk melakukan CPR jauh sama sekali dan tiada siapa pun di antara kami yang tahu caranya.
Memandangkan tiada apa yang dapat kami ketahui, saya mencadangkan supaya panggilan telefon di buat seperti di dalam cerita Rescue 911. Sekurang-kurangnya melalui telefon, boleh juga pihak bantuan perubatan memberi panduan untuk mengembalikan keadaan kedua-dua rakan kami itu. Mujur Mono ada telefon bimbit. Dia membuat panggilan kepada polis bagi menerangkan keadaan dan meminta bantuan. Kami semua mendengar dengan teliti segala percakapannya. Mono meminta supaya dihantar helikopter bagi membawa turun Rohan dan Sepoi.
Lega sedikit rasanya kerana helikopter dikatakan akan tiba bagi membawa mereka keluar. Sementara itu kami hanya mampu menunggu sambil berkemas. Mono juga kemudiannya turun bagi mendapatkan kumpulan yang berkhemah di puncak Korbu Raya setelah Jerung pergi agak lama. Akhirnya kumpulan tersebut tiba juga di puncak Korbu. Bagaimana pun tiada siapa juga yang tahu apa masalah yang melanda Rohan dan Sepoi. Sawa bertindak menelefon lagi. Ini disusuli dengan beberapa banyak lagi panggilan telefon dari pelbagai pihak, termasuklah ibu Rohan. Sejak dari jam 9.00 pagi hingga ke awal petang, helikopter yang dinantikan masih juga belum muncul. Hanya panggilan telefon saja yang terlalu kerap diterima. Sudah tentu tidak mudah bagi pihak berkuasa untuk sewenang-wenangnya menerbangkan helikopter ke puncak Korbu. Apatah lagi barangkali pada fikiran mereka tidak mustahil panggilan tersebut adalah palsu belaka. Saya agak pasti, panggilan telefon yang begitu banyak adalah bertujuan untuk mengesahkan kesahihan aduan kami. Macamana sulit pun, bagi saya dalam keadaan kecemasan begini bantuan sepatutnya dihantar dengan segera tanpa mengambil kira sangat segala ‘red tapes’. Saya fikir mungkin juga bantuan akan tiba lebih segera jika kami melaporkan ada kematian. Telefon bimbit dibiarkan hidup bagi memastikan kami tidak terputus hubungan dengan pihak berkuasa.
Pada kira-kira jam 2.30 petang, muncul kumpulan lain seperti yang dikatakan oleh Kecik dan Mat semalam. Mereka adalah pelajar dari sebuah sekolah menengah di Teluk Intan dan diketuai oleh seorang guru yang khabarnya sebaya dengan saya. Hanya ketua kumpulan yang baru sampai itu saja yang mengetahui keadaan kami. Begitu pun tanpa melihat kepada jasad Rohan dan Sepoi, dia mengagak bahawa keduanya sekadar demam biasa. Kumpulan tersebut berhenti di puncak Korbu sekadar untuk makan dan bergambar. Mereka berpecah-pecah. Malah ada yang tiba hampir pukul 4.00 petang. Kira-kira pada pukul 5.00 petang, kesemua mereka beredar ke puncak gunung Gayong untuk bermalam di sana. Lazimnya perjalanan ke sana memakan masa 2 jam dan tidak sukar kerana melalui permatang. Kerana itulah mereka masih mampu menyambung perjalanan walaupun sudah pukul 5.00 petang.
Ketika ini kami sudah meletakkan Rohan dan Sepoi kembali ke dalam khemah kerana cuaca tidak menentu. Beberapa orang melakukan body-to-body heating, seperti yang diarahkan melalui telefon, dengan berbaring bersebelahan dengan mereka berdua. Panggilan telefon semakin rancak pada pukul 5.30 petang. Beberapa panggilan terakhir mengesahkan bahawa sebuah pesawat helikopter Nuri akan diterbangkan daripada Kuala Lumpur. Pemanggilnya kerap bertanya tentang cuaca di puncak dan kami diminta mengosongkan kawasan puncak bagi memudahkan pendaratan.
Akhirnya helikopter yang dinantikan kelihatan sayup-sayup muncul dari arah Barat Daya. Terasa bagai bermimpi saja melihatkan semuanya ini. Ketika itu sudah hampir pukul 6.30 petang. Pesawat tersebut tidak terus menuju ke puncak. Sebaliknya ia terbang ke arah Cameron Highlands, terus ke Timur sebelum membelok hala ke Sungai Siput. Kami memandang dengan penuh harapan. Seterusnya ia menghala ke Ipoh. Saya jangkakan juruterbangnya sedang memeriksa keadaan angin dan cuaca persekitaran. Tentu sekali merbahaya untuk terbang ke puncak Korbu sekiranya ada angin kuat. Kami sendiri musykil sama ada ia mampu mendarat di puncak tersebut.

Setelah beberapa kali berpusing, pesawat tersebut menghampiri puncak dari arah Selatan. Kelihatan krew helikopter tersebut memberi arahan supaya kami beredar ke ruang kiri. Ia semakin hampir. Kelihatan Sawa merakamkan beberapa gambar aksi helikopter tersebut. Angin yang dihasilkan oleh helikopter tersebut sungguh kuat dan kami terpaksa meniarap bagi memastikan keselamatan diri. Bagaimana pun ia beredar dari situ sejurus kemudian. Mungkin ia menghadapi kesukaran untuk berlegar dalam posisi tersebut. Walau bagaimana pun ia kembali, tetapi dari arah Timur pula. Bimbang juga saya sekiranya helikopter terus pergi tanpa membawa turun kedua kawan kami itu. Bagaimana pun kali ini ia berlegar tetap pada aras pinggang. Saya meniarap jauh berhampiran dengan denai ke puncak Gayong. Beberapa orang di antara kami keluar untuk mengusung Sepoi dan Rohan ke dalam helikopter. Kelihatan melayang-layang beberapa peralatan kami seperti carry-mat, kertas tisu serta selipar akibat dari tiupan angin helikopter.

Suasana ketika itu terlalu hingar akibat bunyi dari helikopter. Saya nampak roda helikopter tersebut mencecah pokok-pokok kecil yang ada di puncak. Keupayaan juruterbang helikopter tersebut sememangnya mengkagumkan.

Semuanya berlalu dengan pantas. Dalam masa lebih kurang 5 minit saja helikopter itu terbang semula dan meninggalkan kami. Ia menghala ke bandar Ipoh. Puncak Korbu kembali tenang dan sepi. Perasaan kami masing-masing bercampur-campur. Ramai yang gembira kerana penantian yang sejak dari dari pagi tadi sudah berakhir. Ada juga yang terpinga-pinga melihat barang-barang yang melayang entah ke mana. Entah siapa punya sleeping-bag yang saya dapat tahu telah hilang diterbangkan oleh angin helikopter. Lain pula dengan Sheila yang terduduk menangis entah kenapa. Ada yang kata dia menangis kerana sedih dengan apa yang telah terjadi terhadap Sepoi, yakni kawan baiknya. Bagaimana pun kemudiannya saya agak pasti bahawa puncanya adalah disebabkan dia terperanjat. Sewaktu helikopter berada di puncak tadi, dia berada di dalam khemah dan sedang hendak berdiri. Entah macamana, tetulang khemah terputus dan dia terkejut.
Adnan, seperti yang dirancang, ikut turun menaiki helikopter. Akan tetapi di dalam keadaan gawat tersebut, Lan pun terikut bersamanya. Semasa menaikkan Rohan dan Sepoi, Lan turut masuk ke dalam helikopter untuk menyambut. Bagaimana pun sebaik sahaja selesai semuanya, juruterbang tidak mahu berlengah lagi dan Lan terpaksa melupakan hasratnya untuk melompat turun dari pesawat. Beg galas Lan dan Sepoi tertinggal, manakala beg galas Adnan pula tertukar dengan beg Sawa yang mengandungi banyak air simpanan.
Memandangkan matahari semakin menghilang, kami berkemas dan memasang semula khemah. Kali ini tiga khemah dipasang menghadap di antara satu sama lain. Selepas makan, kami duduk berborak-borak hinggal lewat malam. Bagaimana pun selepas jam 11.00 malam, saya masuk tidur. Beberapa orang seperti Kecik, Wak dan Jerung masih lagi melabun sambil berkawal, entah sampai ke pukul berapa. Esok kami akan berpatah balik memandangkan berlakunya insiden siang tadi. Ekspedisi ini telah ditamatkan setakat ini sahaja.
HARI  KEEMPAT
Saya bangun bagi elok sahaja sebelum matahari terbit. Suhu di waktu pagi amatlah sejuk. Asap putih keluar dari mulut, tidak ubah seperti musim sejuk semasa di Amerika dulu. Saya terpaksa memakai baju hujan untuk menahan sejuk. Mono, Kecik dan Pon juga telah bangun. Kami asyik melihat pemandangan pagi yang indah. Mono pula cuba merakamkan gambar matahari terbit. Tidak berapa jauh dari puncak Gayong kelihatan cahaya lampu kamera kumpulan yang bersaing dengan kami semalam. Entah mengapa mereka tidak bermalam di puncak Gayong. Tidak berapa lama kemudian saya mengikut Mono turun ke permatang laluan ke puncak Gayong. Pemandangan dari situ lebih baik kerana tidak dihalangi oleh pokok-pokok.
Agak lama kemudian barulah kesemua anggota kumpulan bangun dari tidur. Masing-masing sibuk mengemas barang-barang sebelum bertolak turun ke Intake. Kebanyakan kami meninggalkan sahaja baki makanan yang berat di puncak terutamanya beras dan gula. Kecik dan Mat sibuk mengumpul barang-barang yang ditinggalkan kerana mereka hendak mendaki gunung Ledang pula pada minggu hadapannya. Tidak padan dengan badan yang kecil, mereka punyai kudrat untuk mengangkut semua itu. Barang-barang Lan dan Sepoi pula dibahagi-bahagikan kepada sebahagian di antara kami.
Kira-kira pada pukul 11.30 pagi, setelah bergambar, kami melangkah turun kembali ke arah Kem Seroja. Kalau sempat mungkin kami akan terus ke Intake. Rasanya mudah sedikit perjalanan turun.
Saya tidak lagi berada di hadapan; sebaliknya berjalan di tengah untuk sentiasa berada di dalam kumpulan. Pengalaman dua hari yang lepas telah cukup mengajar supaya tidak berpecah dari kumpulan.Dengan sekejap sahaja kami sudah berada di puncak Korbu Raya. Terkenang saya semasa menahan kesejukan di situ pada hari kedua. Walau pun sejuk lagi di puncak Kinabalu, tetapi terasa lebih perit di situ kerana semasa di Korbu Raya, saya tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku seterusnya. Ketika itu kami semua duduk sahaja menunggu tanpa tujuan yang jelas sambil menahan sejuk, hinggalah Kecik dan Mat muncul.
Perjalanan diteruskan dengan menuruni cerun Korbu Raya, laluan yang merupakan suatu mimpi ngeri semasa mendaki dua hari yang lalu. Walau pun menurun, tidaklah mudah juga hendak melepasinya kerana terdapat banyak cerun yang curam serta berbahaya. Kerap kali kami terpaksa beratur menunggu giliran untuk turun pada satu-satu tempat yang sukar. Semestinya saya tidak dapat melupakan tempat di mana saya terhenti lama keseorangan kerana tidak nampak laluan. Walau pun ia telah menyusahkan, akan tetapi barang kali kerana terhenti di situlah saya tidak tidur satu khemah dengan Rohan dan Sepoi. Itulah takdir, dan saya bersyukur kerana selamat. Jelas sekali, kesusahan yang datang mungkin ada hikmah dan kebaikannya yang tidak kita sedari.
Semasa menuruni cerun Korbu Raya, kedengaran laungan dari bawah. Rupa-rupanya anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) telah bersedia menunggu di puncak bukit Botak. Mulanya kami menjangkakan yang mereka akan muncul di puncak Korbu pada malam semalam. Bagaimana pun mereka tidak muncul. Rupa-rupanya mereka sekadar menunggu di bawah. Kira-kira setengah jam kemudian barulah kami bertembung dengan mereka. Mulanya bimbang juga kerana khabarnya kami akan dimarahi serta dihujani dengan syarahan yang panjang lebar. Bagaimana pun mereka kelihatan baik sekali dan bersedia memberikan bantuan. Bila tiba di puncak Botak kami bertemu dengan ramai lagi anggota PPH. Rasanya ada dalam kira-kira lapan orang. Mereka dilengkapi dengan radio hubungan. Selain dari itu terdapat dua orang pelajar USM yang hanya berdua masuk ke hutan. Mereka hanya ikut menemani pasukan polis tersebut.
Setelah bercerita sedikit tentang kejadian yang berlaku di puncak, kami terus turun lagi bersama dengan kesemua anggota PPH tersebut. Perjalanan selepas puncak Botak semakin mudah. Cuma lagi penurunannya berterusan dan menyakitkan ibu jari kaki saya. Bila tiba di punca air terakhir, kami berhenti sebentar untuk mengambil air. Ketika itulah salah seorang daripada anggota PPH tersebut memberitahu kami bahawa kedua-dua Rohan dan Sepoi telah meninggal dunia. Saya tidak berapa terperanjat kerana memang begitulah keadaan mereka semasa di puncak. Namun begitu saya sangsi, manalah tahu kalau anggota PPH tersebut mahu mengenakan kami.
Kami berpecah kepada dua kumpulan dan kembali menurun. Dengan berhenti dua tiga kali lagi untuk berehat dan akhirnya tiba di Kem Seroja pada kira-kira lewat jam 4.00 petang. Di situ ada lebih ramai lagi anggota PPH yang telah siap berkhemah menanti kami. Ketua mereka, Inspektor Azizul mengambil maklumat peribadi kami untuk laporan yang bakal dibuatnya. Beliau yang seusia dengan saya mengesahkan yang Sepoi dan Rohan telah meninggal dunia. Kami bermalam di situ kerana sudah lewat untuk terus turun ke Intake.
Tiga buah khemah dipasang rapat-rapat di tapak tepi sungai. Sebelum maghrib, saya mandi; buat kali pertama sejak menyertai kumpulan ini. Pada waktu malamnya selepas makan, kami berborak panjang dengan beberapa anggota PPH. Sebenarnya mereka adalah dari Pasukan Gerak Khas (PGK), yang dahulunya dikenali sebagai VAT 69. Mereka terkenal di dalam melakukan kerja-kerja sulit polis. Dulu mereka di hutan menentang Komunis, sekarang banyak ke bandar pula membanteras penjenayah licik.Seorang dari mereka adalah abang Buyong yang misainya lebat. Beliau adalah satu-satunya anggota polis yang terlibat dalam pasukan payung terjun yang membuat terjunan di Kutub Utara tidak berapa lama dahulu. Walau pun durjanya garang serta bertubuh sasa, namun beliau cukup peramah dan baik hati. Di dalam PGK sendiri terdapat pelbagai unit seperti perubatan, penembak tepat, penjejak dan sebagainya. Abang Lebai misalnya berada di dalam unit perubatan. Walau pun beliau dikira seorang komando, namun peti ubat tidak lekang bersamanya. Beliau ini juga seorang yang suka berjenaka. Banyak cerita dan pengalaman yang amat menarik yang dikongsinya bersama kami. Begitu juga dengan Abang Rock yang turut bersama bersembang kami hingga ke lewat malam. Ada juga beberapa orang lagi anggota PPH yang menghabiskan masa bersama kami pada malam itu. Bagi saya, sedikit sebanyak mereka telah meredakan perasaan kami setelah berdepan dengan masalah di puncak Korbu sejak sehari dua yang lalu.
HARI TERAKHIR
Tanpa banyak membuang masa, kami bertolak turun pada kira-kira pukul 8.30 pagi. Beberapa anggota PPH mengingatkan kami bahawa para pemberita sudah berkampung di Intake sejak semalam untuk membuat liputan tentang kami. Justeru itu haruslah kami berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sekiranya ditanya oleh mereka kelak.Perjalanan bermula dengan turun naik bukit yang tinggi. Teringat kembali saya ketika bersama arwah Sepoi dan Rohan di kawasan tersebut. Kami bertiga bergelap serta keletihan meredah bukit tersebut semasa hendak ke Kem Seroja pada hari pertama. Bila saja sampai ke tebing sungai yang berbatu besar, saya teringat kembali bila kami bertiga berhenti lama di situ kerana menunggu kawan-kawan yang di belakang. Memang kami sentiasa bertiga di hadapan selama dalam perjalanan mendaki ke puncak Korbu. Kami cuma terpisah di Korbu Raya. Di puncak Botak kali terakhir kami bertemu. Sedih juga mengenangkan nasib mereka, namun sudah ditakdirkan ajal mereka di situ. Saya harus mengambil banyak iktibar dari peristiwa tersebut.
Banyak sungai yang diseberangi dan terasa jauh pula perjalanan pulang. Terasa sukar pula berjalan melintangi cerun-cerun di tebing sungai, walhal semasa datang tempoh hari, tidak pula terasa susahnya. Beberapa jam kemudian kami tiba di Kem Agas. Di sana juga ada sekumpulan lagi anggota PPH yang telah sedia menunggu. Kami berhenti untuk makan tengahari. Dari perbincangan dengan mereka, barulah saya sedar bahawa kami tidak membuat laporan yang sah sebelum mendaki. Sepatutnya kami membuat laporan di Balai Polis Tanjung Rambutan. Apa yang telah dilaporkan di Kem PPH pada hari pertama adalah tidak sah. Lebih memeranjatkan lagi pihak polis menyangka bahawa bantuan helikopter pada hari Selasa lalu adalah untuk kumpulan pelajar sekolah dari Teluk Intan yang bersaing dengan kami, kerana hanya senarai nama merekalah yang ada di dalam simpanan balai polis Tanjung Rambutan.
Selepas makan kami menyambung baki terakhir perjalanan. Kali ini laluannya agak mendatar tetapi terasa bahang panas kerana banyak melalui tanah lapang. Justeru itu saya berjalan selaju mungkin bila-bila melalui tempat panas. Bila tiba di jambatan besar, ada lagi sekumpulan besar anggota PPH yang menunggu. Hanya kerana kami, begitu ramai sekali anggota polis yang terlibat masuk ke hutan.
Tidak jauh dari perkampungan Orang Asli, gambar kami telah diambil oleh seorang pemberita India. Kami terus berjalan dan dia pula tidak berani bersuara barangkali kerana kami diiringi oleh PPH. Akhirnya kami tiba di loji air, tidak berapa jauh daripada pintu pagar Intake. Telah tersedia beberapa buah trak kecil PPH di situ serta beberapa orang lagi pegawai polis. Hampir selesai sudah tugas PPH di situ. Sebelum berpisah, kami bersalaman serta mengucapkan terima kasih kepada anggota PGK yang bersama-sama dengan kami semalam. Seterusnya kami dibawa pergi dengan menaiki trak tersebut bagi mengelakkan dikerumuni oleh pemberita.
Bila kami melepasi kawasan Intake, kelihatan begitu ramai sekali orang terutamanya pemberita di kawasan gerai baru. Masing-masing menghalakan kamera ke arah kami. Ada juga ahli keluarga serta sahabat handai yang menunggu. Sebaik sahaja trak kami menghala ke Tanjung Rambutan, kami diekori oleh banyak kereta dan motosikal. Di Balai Polis Tanjung Rambutan kami turun dan dibawa masuk ke bilik mesyuarat untuk memberi kenyataan kepada polis. Ketua Polis Tanjung Rambutan memberi sedikit taklimat tentang kejadian dan mengesahkan lagi bahawa Rohan dan Sepoi telah meninggal dunia disebabkan oleh keracunan gas. Kejadian tersebut dikatakan berlaku kerana mereka tidur di dalam khemah yang bertutup rapat serta memasang lampu gas semasa tidur.
Ketika itu saya terkenangkan kejadian letupan di dalam khemah yang terjadi kepada pendaki dari UUM pada tahun 1997. Berlaku di puncak Korbu juga, mereka telah memasak menggunakan dapur gas di dalam khemah yang hampir sama jenis. Bila mana ada orang menyalakan api rokok, letupan telah berlaku. Kes ini nampak hampir sama saja puncanya dengan apa yang telah terjadi kepada arwah berdua. Bagaimana pun ada juga yang sangsi dengan laporan kematian tersebut kerana mereka bukan tidak pernah memasang lampu gas semalaman di dalam khemah.
Ada juga kemungkinan mereka mengalami hypertemia iaitu kehilangan air dalam badan yang berlebihan sebab terlalu letih. Tidak mustahil juga ia disebabkan sejuk yang berlebihan. Tiada siapa yang tahu. Bagi saya biarlah apa pun puncanya, bila maut mendatang, tidak dapat kita nak mengelakkannya walau sesaat. Saya yang terselamat seharusnya bersyukur kerana diberi peluang untuk terus hidup bagi menentukan arah tuju di akhirat kelak.
Layanan yang diterima di balai polis amatlah baik. Kami turut dihidangkan dengan kuih muih serta minuman yang banyak. Semuanya selesai pada kira-kira jam 4.00 petang. Kebanyakan kawan-kawan saya dikerumuni oleh keluarga dan sahabat masing-masing. Mono sudah menerima pesan supaya menunggu sehingga ibunya datang. Mai pula sudah membayangkan kena ‘gantung beg’. Keluarga Wak siap berkereta untuk membawanya pulang. Ramai lagi kawan-kawan mereka yang saya temui. Adnan dan Lan juga muncul. Merekalah yang telah bersusah payah menjawab segala pertanyaan pihak berkuasa sejak dua hari yang lalu; tanpa pengenalan diri dan duit. Mujurlah mereka telah memberi kenyataan awal, maka kami tidak perlu menunggu lama di balai polis tersebut. Akhirnya saya meminta diri serta mengucapkan terima kasih kepada semua. Walau pun berakhir dengan tragedi dan tidak kesampaian hajat untuk ke Cameron Highlands, namun saya berpuas hati kerana berjaya menjejakkan kaki ke puncak Korbu, sesuatu yang saya mimpikan sejak 10 tahun yang lalu. Saya menahan teksi untuk pulang ke Simpang Pulai. Terasa lega kerana semuanya telah selesai.


1 comment:

  1. Ketua kumpulan sepatutnya memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan tentang pendakian yang akan dibuat dan ketua kumpulan perlu menentukan setiap ahli kummpulan bergerak dalam satu kumpulan bukan berpecah mengikut kemampuan fizikal dan mental ahli. Ingatlah setiap ahli terdiri dari orang awam yang tidak terlatih dan mereka bergantung kepada ketua kumpulan..

    ReplyDelete

Gunung Rajah VIA KKB Daypack

Assalamualaikum Hikers...   Kali ni hakak pergi ke Gunung Rajah VIA Kuala Kubu Bharu... Bila ingat kembali, masa zaman dulu naik Gunung Ra...