Thursday 26 February 2015

10 Kakitangan PTG Perak Tawan Puncak Gunung Kinabalu


IPOH: Seramai 10 peserta yang mewakili Jabatan Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara dalam satu ekspedisi, Jumaat lalu. Dinamakan XPDC PTG ke Kinabalu ’15, program yang telah dinaungi oleh Pengarah PTG Perak, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris  mengambil masa perjalanan selama lima hari itu memberikan pengalaman yang cukup bermakna kepada peserta yang menyertainya.

Bertemakan ‘Pergi Membawa Harapan, Pulang Membawa Kejayaan!’, ekspedisi itu disertai oleh lapan peserta lelaki dan dua wanita yang mewakili pelbagai peringkat jawatan di jabatan berkenaan.
Menurut Ketua Pasukan XPDC, Mohd Shahdu Azree Mohamed Yusof, aktiviti itu dianjurkan untuk menyahut cabaran ‘FIT MALAYSIA’ yang telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Ekspedisi ini menggalakkan aktiviti beriadah dan rekreasi di kalangan penjawat awam khususnya pegawai dan kakitangan PTG Negeri Perak.
“Di samping itu, aktiviti seperti ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan sifat kepimpinan dan  semangat berpasukan antara peserta.

“Ia juga sebagai menyahut cabaran FIT MALAYSIA yang dalam pada masa sama mampu menerapkan rencana kesihatan kepada semua penjawat awam,” tambahnya.
Beliau berkata demikian kepada PerakToday.com.my, di sini, hari ini.
Beliau berkata lagi, ekspedisi berkenaan merupakan anjuran kali kedua selepas ekspedisi pertama yang dilakukan pada 2001.

“Ini merupakan pasukan kedua yang dihantar secara lebih tersusun dan mendapat sokongan sepenuhnya dari warga PTG.

“Pembiayaan bagi sepanjang ekspedisi ini berlangsung diperolehi daripada inisiatif simpanan peserta secara berperingkat yang dilakukan pada setiap bulan dan insentif tambahan yang diberikan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi (KESDAR) jabatan ini,” ujar beliau.

Tambahnya, terlalu banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui oleh peserta sepanjang ekspedisi itu.
“Banyak pengalaman yang kami lalui sepanjang mendaki Gunung Kinabalu antaranya mengalami kekejangan kaki, keletihan dan kesejukan yang melampau di mana suhu direkodkan di bawah 4 darjah Celsius sebelum tiba ke puncak.

“Ketabahan, kecekalan, semangat serta kekuatan mental yang tinggi diperlukan semasa membuat pendakian berikutan kami perlu melalui bentuk muka bumi yang bercerun serta pelbagai dugaan lain,” katanya lagi.
Shahdu berkata, pihaknya akan terus menganjurkan ekspedisi mendaki gunung yang lebih mencabar untuk menguji kekuatan mental serta fizikal peserta.
“Namun, ia bergantung kepada kemampuan sumber kewangan pada masa akan datang,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

Gunung Rajah VIA KKB Daypack

Assalamualaikum Hikers...   Kali ni hakak pergi ke Gunung Rajah VIA Kuala Kubu Bharu... Bila ingat kembali, masa zaman dulu naik Gunung Ra...